Thursday, May 17, 2012

Selamat Hari Guru :)

assalamualaikum semua.

tak terlambat untuk mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada semua insan yang pernah mendidik ku samada secara langsung mahupun tidak langsung.

namun, sebelum itu, sy nak ucapkan juga selamat hari lahir buat ayahku tercinta. terima kasih kerana membesarkan dan mendidik iyah sehingga ke saat ini. i LOVE YOUUU soo muchh :)

berbalik kepada perkara asal. tentang hari guru. saya ada terbaca satu catatan tentang guru. marilah kita sama - sama membacanya. sungguh menusuk ke dalam kalbu. TANPA GURU SIAPALAH KITA.


Belum lambat untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada cikgu-cikgu yang telah berjasa amat besar pada saya. Mereka mengajar saya A, B, C, alif, ba, ta. Mereka juga mengenalkan saya angka-angka 1, 2, 3. Tanpa mereka siapalah saya!

Sejak hari pertama ke sekolah saya sentiasa takut pada cikgu. Tidak kira cikgu perempuan, lebih-lebih lagi yang lelaki, semua nampak garang. Tidak ada senyum, semua serius semacam. Paling saya takut Guru Besar, Mohd Dzuli Adni atau lebih dikenali dengan Cikgu Zainal.

Cikgu-cikgu lain yang mengajar saya semasa sekolah rendah termasuklah Cikgu Manisah, Cikgu Suratmi, Cikgu Fatimah (ada tahi lalat!), Cikgu Bakar, Ustaz Satam. Murid Sekolah Rendah Kebangsaan Sawah Ring – di pedalaman Muar – tidak ramai, tidak sampai 100. Cikgu pun tidak lebih 10.

Memang semua garang, tetapi mereka mengajar dengan gigih. Disiplin amat ketat, kalau buat salah pasti ada hukumannya. Tidak hafal sifir, kena berdiri atas bangku. Tidak tahu mengeja, kena buat ‘tok ketampi’. Ponteng sekolah tanpa sebab, kena berdiri di luar bilik darjah.

Ada banyak lagi hukuman, tetapi paling ditakuti ialah sebatan di punggung. Setengah abad lalu, rotan digunakan secara bebas di sekolah. Kalau dipanggil ke bilik Guru Besar, siaplah punggung. Kalau tidak pada punggung, rotan sebesar jari kelengkeng itu mungkin hinggap di betis.

Lima tahun di sekolah rendah – saya lompat kelas, tidak belajar darjah tiga – saya kena rotan sekali. Ketika perhimpunan pagi Ahad – di Johor ketika itu cuti hujung minggu ialah Jumaat dan Sabtu – saya sudah tahu akan menerima padah.
Kesalahan saya ialah tidak datang latihan sukan pada hari Sabtu. Zup, zup, zup! Tiga kali rotan hinggap di punggung. Peritnya bukan kepalang.

Betapa pun perit dan merah di punggung, saya tidak berani mengadu pada emak, lebih-lebih lagi pada abah. Kalau mengadu pada abah dia akan kata: “Pandan muka engkau, tak ikut cakap cikgu memang patut kena rotan!” Dan, dia akan tambah satu lagi sebatan di betis atau tapak tangan. Jadi, lebih baik jangan mengadu.

Ketika di sekolah menengah pun ada cikgu yang garang. Sebat murid hingga patah pembaris panjang. Ada murid kena penampar hingga merah pipi. Ada juga cikgu jentik telinga murid hingga kebas.

Tetapi, tidak ada yang mengadu pada ibu bapa. Ada dua sebab. Pertama, guru amat dihormati dan dipandang tinggi dalam kalangan masyarakat. Kedua, ibu bapa lebih percaya pada guru daripada anak sendiri. Apa yang cikgu buat dianggap betul untuk mendidik anak-anak.

Itu 50 tahun dulu! Hari ini ibu bapa lebih menyebelahi, dan terlalu memanjakan anak. Sebab itu kalau ada silap sikit dilakukan pada murid, ibu bapa akan menyerang guru di sekolah. Anak kena cubit sedikit, ibu bapa melenting dan buat laporan polis.

Sekiranya murid diminta memungut sampah atau mencuci tandas, ibu bapa akan mengadu pada PIBG, silap-silap akan menulis surat pada Pejabat Pendidikan, dengan salinan kepada Perdana Menteri. Kalau nasib tidak baik guru berkenaan kena tukar sekolah.

Kalau rotan murid kerana melakukan kesalahan melampau – termasuk merosakkan harta benda sekolah, atau mengugut akan bunuh guru – ibu bapa akan mengadu pada polis, menteri dan NGO hak asasi. NGO akan buat kenyataan hentam sekolah cukup-cukup.

Ibu bapa tidak menghormati guru, tidak ambil berat tentang sekolah. Diajak mesyuarat PIBG setahun sekali, hanya seorang dua ibu bapa hadir. Diminta berjumpa Guru Besar untuk membincang masalah anak, mereka tidak datang. Mereka akan datang, dan marah-marah, hanya jika anak dapat semua E dakwat merah dalam peperiksaan.

Oleh sebab anak-anak terlalu dimanjakan, mereka tidak takut guru. Mereka ingkari perintah guru – ponteng, tidak buat kerja rumah, melawan guru. Malah, ada yang berani membakar bilik guru. Ada yang menconteng dinding sekolah, memaki hamun guru. Semua orang tahu disiplin sekolah menjunam.

Saya bersyukur bersekolah – rendah dan menengah – pada ketika rotan bebas digunakan. Memang ada guru yang bengis dan garang, tetapi merekalah yang membentuk saya menjadi manusia. Ramai juga yang baik dan murah senyuman, termasuk Cikgu Munap Long, dan Cikgu Nopipah Pendek, guru sejarah semasa tingkatan lima.

Sama ada disebut nama atau tidak – sesetengahnya mungkin sudah tidak ada – guru-guru telah mencurahkan ilmu dan membentuk saya menjadi manusia. Jasa mereka saya kenang hingga mati.

**Begitulah catatan seorang penulis tentang kisah mengenai guru. marilah kita sama - sama merenunginya. betapa besarnya jasa dan pengorbanan seorang insan bergelar guru. 

untuk semua guruku. terimalah lagu ini. terima kasih diatas segalanya. :)


Jasa guruku tak terhingga
Aku tidak melupakannya
Banyakku dapat ilmu dari padanya
Jasanya ku kenang sampai bila-bila

Guruku mengenalkan ku pada Tuhanku
Rasul dan wali juga diberitakan
Para malaikat dan juga akhirat
Segala suratan Allah yang menentukan

Guruku mengajar berakhlak mulia
Berkasih sayang sesama manusia
Bertolong bantu dan juga bersatu
Berkorban berkhidmat menabur jasa

Guruku menanamkan cinta akhirat
Menyedarkan aku dunia sementara
Jangan lalai jangan terpesona
Bertaqwa sebagai bekalan ke sana

Aku berdoa kepada Tuhanku
Agar dosa guruku di ampunkan
Jasanya padaku diberi pahala
Di akhirat darjat guruku ditinggikan




Tanpa guru siapalah kita...

ASSALAMUALAIKUMWARAHMATULLAHIWABARAKATUH :)




No comments:

Post a Comment